PROJEK RUMAH TERBENGKALAI UNTUK PENDUDUK RUMAH PANJANG KG.BUNGARAYA BERJAYA DISELESAIKAN

bungaraya 16-9 meeting.jpg

Masalah perumahan penduduk Kg.Bungaraya yang tidak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan MIC sejak 14 tahun kini akan diselesaikan. Melalui usaha Dr.Nasir Hashim ADUN Kota Damansara dan Parti Sosialis Malaysia Subang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, maka penduduk kampung boleh menarik nafas lega sekarang.

Pada mesyuarat yang telah diadakan pada 16hb.September, 2009 yang lalu di Lembaga Perumahan dan Hartatanah Selangor, pihak perunding Jawatankuasa pantauan projek terbengkalai berjaya memperolehi sebuah syarikat penyelamat yang akan menyiapkan projek ini .

Kg.Bungaraya merupakan sebuah kampung peneroka berhampiran dengan Subang Permai. Apabila pemaju Sinar Fadzilat ingin membangunkan tanah kampung mereka, maka penduduk telah dipindahkan ke rumah panjang berdekatan dengan Pekan Subang. Kerajaan BN pada ketika itu telah menyampaikan amanah membina rumah kos rendah pangsapuri 5 tingkat kepada sebuah syarikat kroni mereka, Unique Creations.

Penduduk dipindahkan ke rumah panjang pada tahun 1994. Rumah sementara transit, yang sepatutnya untuk tinggal untuk dua tahun, kini menjadi rumah kekal apabila Unique Creations gagal menyiapkan rumah, dan projek pula terbengkalai. Penduduk terpaksa menduduki rumah tersebut selama 14 tahun .

Sejak tahun lepas, 2008, Pejabat ADUN telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan Kerajaan Negeri Selangor bersama Exco Perumahan, Ir.Iskandar . Jawatankuasa pemantauan projek terbengkalai juga dibentuk oleh Kerajaan Negeri. Pada bulan April, 2009, Dr.Nasir Hashim telah menjemput Exco datang sendiri dan melihat penderitaan rakyat menduduki rumah panjang yang usang tersebut.

Selepas beberapa usaha, akhirnya syarikat ECL Consultant bersama kontraktor Fine Technique akan mengambil alih projek tersebut daripada Unique Creations . Mereka bercadang untuk memulakan kerja-kerja pembinaan dari bulan Oktober, 2009 . Rumah terbengkalai ini akan disiapkan dalam masa 18 bulan.

Sivarajan .

Kota Damansara .