Menyahut cabaran pilihanraya Umum ke -12, yang dianggarkan akan diadakan pada bila-bila masa ini, jawatankuasa jentera pilihanraya Parti Sosialis Malaysia cawangan Subang sudah mula bergerak penuh semangat.
Jentera pilihanraya PSM telah dibentuk sejak pertengahan tahun 2007 dan telah melaksanakan beberapa kerja lawatan dan pemberian risalah disekitar kawasan sejak 2007, tetapi bermula minggu ini, kerja pilihanraya akan dijalankan dengan lebih rancak lagi .
Kali ini jentera PSM turut diperkuatkan apabila seluruh Jawatankuasa Peneroka Bandar dari pelbagai kampung bersedia membantu PSM untuk menumpaskan Mokhtar Dahalam yang merupakan pembela kaum pemaju dan jagun merobohkan rumah Peneroka Bandar.
Hari ini, mesyuarat telah diadakan dengan calon Parlimen Subang, Sdr.Sivarasa dari Parti Keadilan Rakyat bersama jawatankuasa kempennya. Mesyuarat yang disertai oleh Sdr.Dr.Nasir Hashim, calon Kota Damansara dan Sdr.V.Selvam selaku Pengarah Pilihanraya Kota Damansara telah membincangkan pelbagai aspek kerjasama yang boleh diadakan diantara Parti Sosialis dan PKR dalam saling membantu antara satu sama lain.
Mesyuarat yang serupa juga telah diadakan oleh PSM bersama dengan kepimpinan PAS Subang dua minggu yang lalu. Kepimpinan PAS memberikan sokongan padu kepada Dr.Nasir dan memberitahu bahawa mereka akan mengerakkan ahli mereka di Kota Damansara membantu dalam kempen. PAS yang telah bertanding di Kota Damansara pada pilihanraya yang lalu, akan bertanding pula di Paya Jaras dalam pilihanraya umum ke -12 kali ini.
PSM percaya bahawa, kali ini Calon sosialis akan memberikan suatu pertarungan hebat kepada Barisan Nasional. ADUN Barisan Nasional Kota Damansra ialah Dato Mokhtar Dahalan, Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor. Beliau juga merupakan orang 'kanan' kepada Menteri Besar Mohd Khir Toyo. Tetapi rekod Mokhtar Dahaln kali ini telah dicemari oleh beberapa isu. Terutamanya isu perobohan rumah peneroka di Rimba Jaya, Kg.Berembang, kuil Hindu dan surau di kampung tersebut. Dalam kedua-dua kes tersebut, PSM telah bersama masyarakat mempertahankan hak perumahan kaum miskin.
Justeru itu, calon yang paling layak bertempur dengan Mohktar Dahlan, membongkarkan segala penyelewengan dan kekejamannya ialah Dr.Mohd Nasir yang biasa dikenali sebagai 'wira pembela kaum peneroka bandar'. PSM akan terus bekerja keras, memastikan Barisan Nasional pro kapitalis ini dapat ditumpaskan.
Hidup perjuangan rakyat !
Sivarajan
Meja Media Kota Damansara