
Pada 8hb.Ogos, 2009 sekali lagi Dr.Nasir bersama dengan penduduk Kota Damansara telah menyatakan bantahan mereka terhadap pembinaan Pasaraya Carrefour, berhampiran dengan sekolah dan rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) yang pada awalnya mengeluarkan lesen kepada Carrefour untuk membina pasaraya besar di Kota Damansara menolak tanggungjawabnya kepada Kerajaan Negeri Selangor pula. KPDNHEP menyuruh Kerajaan Negeri membatalkan kebenaran pembangunan yang telah diberikan kepada Carrefour oleh MBPJ.
Kerajaan Negeri pula mendesak KPDNHEP untuk membatalkan lesen terlebih dahulu, barulah Kerajaan Negeri dapat bertindak memberhentikan projek pembinaan tersebut. Dalam permainan politik ini, pihak yang untung ialah Carrefour kerana mereka begitu giat melaksanakan kerja pembinaan. Kini pembinaannya sudah lebih daripada 60% siap .
Penduduk sekitar amat tidak berpuashati dengan permainan politik ini dan mendesak pihak berkuasa negeri dan juga Kementerian untuk bertindak segera demi kepentingan penduduk Kota Damansara.
“Pendirian saya sejak bulan April , 2008 yang lalu tidak berubah, dan saya tetap membantah pembinaan tersebut. Ada juga pihak tertentu yang cuba mendesak agar saya meletak jawatan kerana kegagalan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu ini “ kata Dr.Nasir.
“ Isu ini tidak akan selesai jika saya letak jawatan, saya akan terus berjuang mempertengahkan kepentingan rakyat dalam Dewan Negeri. Saya rasa Kerajaan Pakatan rakyat akan menerima hujah saya dan akan dapat membuat pertimbangan yang betul diantara menjaga kepentingan rakyat dan kepentingan pelabur.“ tambah Dr.Nasir.