Pada 18hb.Julai, 2009, ADUN Kota Damansara, Dr.Nasir Hashim telah turun ke Taman Segar Mahsing untuk mengetahui sendiri status masalah tanah lot perumahan yang sekian lama belum selesai. Dalam sesi dialog ini para penduduk telah mengemukakan masalah tanah mereka yang belum memperolehi hakmilik sahnya.
Semasa pihak Pejabat ADUN menganjurkan sesi dialog ini, kami telah menerima aduan daripada penduduk bahawa pihak kepimpinan MIC Taman Segar telah memaklumkan kepada semua penduduk agar tidak hadir ke sesi dialog bersama Dr.Nasir. Kenapakah MIC risau sangat dengan sesi dialog ini? Apakah yang ingin disembunyikan oleh mereka?
Memang benar ada beberapa perkara yang terbongkar semasa sesi tersebut. Kawasan perumahan lot Taman Segar Mahsing, telah mula diduduki sejak 20 tahun yang lalu oleh rakyat daripada dua kawasan. Penduduk awalnya ialah bekas pekerja daripada Ladang Elmina. Kemudianya diikuti oleh penduduk daripada Kg.Baru Sg.Buloh yang telah berpindah kekawasan ini apabila rumah mereka terbakar di kampung baru itu.
Kini apa yang dipertikaikan oleh majoriti penduduk ialah kenapa TOL (Lesen Menduduki Sementara)diberikan kepada ‘orang luar‘ yang bukannya penduduk asal tapak ini. Pembahagian lot tapak TOL juga telah menimbulkan pelbagai masalah apabila lot tanah yang telah diduduki oleh penduduk asal dipecahkan semula kepada dua dan diberikan kepada orang luar.
Justeru itu penduduk asal mendapati dengan tiba-tibanya muncul sebuah rumah baru sedang dibina didepan rumah mereka! Kejadian ini berlaku kerana kepimpinan taman dan MIC dengan alasan ‘membantu’ penduduk mendapatkan geran hakmilik kekal, bertindak memecahkan lot –lot asal untuk di’jual’ kepada kroni-kroni mereka. Kami juga dimaklumkan bahawa orang bekas ADUN, Dato’ Moktar Dahalan, juga telah membeli lot di sini.
Pihak MIC pula memberi amaran kepada penduduk disini supaya jangan mengadukan perkara ini kepada mana-mana pihak Kerajaan PR Selangor, jika mereka mengadu maka proses pemberian geran hakmilik akan terganggu.
Oleh kerana masalah tersebutlah, pihak Pejabat ADUN Kota Damansara telah berusaha untuk memecahkan benteng ‘kawalan’ MIC disini dan meneliti secara terus masalah penduduk disini. Tidak dapat dinafikan juga penyelewengan yang telah dilakukan oleh bekas pegawai-pegawai Pejabat Daerah yang telah bersekongkol dengan MIC dan UMNO untuk memecahkan lot penduduk dan menjualnya kepada kroni masing-masing.
Dr.Nasir berjanji akan menyiasat perkara ini dan akan mengadakan mesyuarat dengan Pegawai Daerah Petaling. Dr.Nasir juga menasihati penduduk agar membentuk satu jawatankuasa bertindak yang benar-benar dapat mewakili penduduk dan tidak dipengaruhi oleh campurtangan politik.