
Setelah hampir satu tahun ADUN Sosialis Dr.Nasir Hashim dan PSM bertapak di Kota Damansara, kini satu jawatankuasa baru PSM bahagian Kg.Baru Sg.Buloh telah dibentuk. Pada hari ini seramai 24 orang telah mendaftar menjadi ahli PSM. Dalam suatu majlis yang ringkas Dr.Nasir telah menyampaikan buku peraturan Parti Sosialis Malaysia (buku merah) kepada ahli baru parti. Jawatankuasa ini akan merupakan peringkat pertama kearah membentuk cawangan PSM Kg.Baru Sg.Buloh.
Majlis ini, merupakan perjumpaan kali kedua dengan ahli baru PSM. Dua minggu yang lepas satu mesyuarat pengenalan parti telah diadakan kepada semua ahli baru. Satu tayangan video telah ditunjukkan mengenai perjuangan parti. Ahli parti yang baru menyertai PSM terdiri daripada pekerja kilang, peniaga kecil dan pemandu lori. Ada juga beberapa orang ibu tunggal yang juga telah menyertai kami.
Dr.Nasir dalam ucapanya menerangkan dasar asas perjuangan sosialis. Hasil perbincangan lanjut dengan ahli baru Kg.Baru Sg.Buloh, satu idea kempen baru tercetus. Ahli baru telah mengutarakan isu pengangkutan awam di Kg.Baru Sg.Buloh yang tidak memuaskan. Perkhidmatan bas amatlah teruk di kawasan Kg.Baru Sg.Buloh. Keadaan ini menyebabkan ramai terpaksa berkenderaan. Ada juga pemandu teksi dan kereta sewa mengambil kesempatan ini dan mengenakan caj yang keterlaluan kepada penumpang.

Setelah membuat satu analisis ringkas mengenai masalah pengangkutan awam, maka semua ahli bersetuju memulakan satu kempen khas menuntut perkhidmatan bas awam diperbaiki di Kg.Baru Sg.Buloh. Suatu memorandum akan disediakan dan kempen tandatangan akan dimulakan.
PSM berharap, para ahli baru akan melibatkan diri dengan sebaiknya dalam perjuangan ini. Perjuangan kemudahan asas untuk rakyat pekerja adalah perjuangan sosialis. Sosialis menuntut perkhidmatan bas untuk kemudahan bukan untuk keuntungan.
Hidup perjuangan rakyat!
Hidup Sosialisma!