Projek perintis Serambi Hijau dilancarkan dengan jayanya di Projek Perumahan Rakyat PPR Seksyen 8 Kota Damansara oleh Dr.Nasir Hashim ADUN Kota Damansara. Sejak pertengahan tahun lepas, Dr.Nasir Hashim dan Parti Sosialis Malaysia telah merancang untuk memulakan suatu program pertanian dimana rakyat boleh mengusahakan hasil keperluan mereka dengan sendiri agar mengurangkan perbelanjaan harian dapur.
Rakyat yang paling memerlukan program sedemikian ialah rakyat daripada golongan berpendapatan rendah. Tetapi ramai daripada warga Kota Damansara daripada golongan ini menduduki rumah bertingkat dan bukannya di lot tanah. Macam mana nak usahakan pertanian tanpa tanah?


Demi membantu golongan miskin kota, Dr.Nasir Hashim menyahut cabaran ini untuk memulakan projek perintis ini di PPR Seksyen 8 Kota Damansara. Beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama Timbalan Pegawai Daerah Pembangunan dan Jabatan Pertanian. Walaupun program sedemikian pernah dilakukan, ianya dikenali sebagai program bumi hijau kerana penanaman dilakukan di lot tanah dikawasan rumah. Oleh kerana projek ini akan dilaksanakan di rumah bertingkat, maka ianya dinamakan ‘Serambi Hijau ‘.
Projek perintis ini yang disertai oleh seramai 150 unit keluarga dari PPR ini akan membina konsep pertanian secara komunal. Setiap paras perumahan ini akan dapat mengusahakan tanaman masing –masing dan berkongsi pengalaman. Selain daripada mengunakan hasil untuk kegunaan sendiri, yang selebihnya dapat juga ditukar dengan peserta paras lain yang menghasilkan tanaman sayur yang berbeza.

Dalam suatu majlis ringkas , Dr,Nasir Hashim mengedarkan set permulaan yang terdiri daripada anak pokok, pasu , polibag ,baja campuran ,tanah dan benih kepada setiap 150 peserta. Majlis ini turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Petaling Dato’Zulkepli, En.Yahya Timb.Pegawai Daerah, Ketua Kampung Melayu Subang En.Zainal, serta beberapa pegawai daripada Jabatan Pertanian .
Adalah diharapkan, dengan hasil sayuran yang dihasilkan ini, akan dapat membantu keluarga PPR dalam kegawatan ekonomi kini. Lebih –lebih lagi , program sedemikian akan membina kerjasama dan keinginan bergerak sebagai sebuah komuniti untuk kebaikan bersama.
Pejabat ADUN Kota Damansara