Yb Iskandar, Exco Kerajaan Negeri Selangor
Ir Iskandar , Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor menerangkan beberapa opsyen untuk menyelesaikan masalah perumahan penduduk Kg.Bungaraya . Kg.Bungaraya yang merupakan sebuah kampung peneroka telah melalui pemindahan oleh tuan tanah Sinar Fadzilat pada tahun 1993 . Suatu perjanjian telah dibuat dengan pemaju Unique Creations untuk membina Rumah Kos Rendah Pangsapuri Dahlia di U5, Shah Alam .
Sementara menunggu pembinaan ini penduduk telah dipindahkan ke rumah panjang yang disediakan oleh Sinar Fadzilat pada tahun 1994. Malangnya pemaju Unique Creations tidak mampu mendirikan perumahan tersebut dan ianya terbengkalai hingga kini . Justeru itu penduduk terpaksa menduduki rumah panjang yang sepatutnya menjadi rumah transit ini selama 15 tahun !
Dalam suatu majlis ringkas anjuran Pejabat ADUN Kota Damansara Dr.Nasir Hashim dan JKKK Kg.Bungaraya ,Sdr Ir .Iskandar telah hadir untuk melihat sendiri penderitaan penduduk yang menduduki rumah yang hampir roboh ini . Beliau telah dibawa berjalan ke seluruh kawasan rumah panjang itu . Ir.Iskandar juga setuju bahawa hampir semua rumah berada dalam keadaan yang sungguh usang dan sukar untuk diperbaiki lagi .
Dalam ucapannya , Ir.Iskandar menerangkan bahawa opsyen yang pertama yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri ialah mendapatkan suatu kontraktor penyelamat untuk mengambil alih projek ini daripada Unique Creations . Ini adalah opsyen yang paling baik dimana ianya melibatkan masalah perundangan yang paling minima. Perjanjian asal dengan bank dan pembeli juga dapat dikekalkan .
Opsyen yang kedua ialah , dimana semua penduduk Kg.Bungaraya ditawarkan satu projek perumahan lain yang terdekat dan yang hampir siap . Iskandar memaklumkan bahawa pihak bank bersetuju untuk memudahkan perubahan perjanjian pinjaman dan sebagainya.Beliau berjanji akan cuba menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat memandangkan keadaan rumah panjang sekarang yang amat terdesak .
Dalam majlis yang sama , suatu upcara penyampaian sumbangan bil air tertunggak penduduk telah diadakan . SYABAS telah memotong bekalan air beberapa kali kerana bil air yang tertunggak ini. Tunggakan ini terjadi kerana pengurusan JKKK yang terdahulu yang kurang efisyen serta wujudnya beberapa kebocoran paip air disekitar kampung.
Maka setelah mengadakan perbincangan dengan Exco , MBSA dan SYABAS ,tunggakan tersebut dapat dibayar . ADUN Dr.Nasir Hashim telah menyumbangkan sebanyak RM 14,786 ,MBSA sebanyak RM 10,000 dan Exco sebanyak RM 5000 ringgit .
ADUN Dr.Nasir juga telah menyumbangkan tambahan sebanyak RM 5000 untuk JKKK membaiki semua paip air secara gotong royong .
Majlis ini juga dihadiri oleh Ahli Majlis Shah Alam , Sivarajan ( PSM) , Najmi ( PKR) dan Sdr Cheong Kai Cheng ( DAP) serta wakil Datuk Bandar Shah Alam En.Hamzah.
Pej.ADUN Kota Damansara.