"Kilang saya akan tutup,kami dibuang kerja!" "Department saya akan dtutup sebagai langkah penjimatan kos" "Boss suruh kami datang ke ofis, hanya 4 hari dalam satu minggu, katanya tiada kerja ,tiada bisnes" "Sudah dua bulan, saya tidak diberikan kerja OT, adui! mana cukup gaji basic RM 800 ini untuk keluarga saya!"
Kini ramai yang merungut seperti di atas akibat krisis ekonomi yang melanda kita. Ramai yang akan mengelirukan kita dengan memberitahu bahwa perkara krisis ekonomi merupakan perkara biasa ,yang tidak dapat dielakkan. Kita disuruh percaya bahwa sistem ekonomi kini tiada alternatifnya. Ini tidak benar. Negara kita mempratikkan suatu cara pemerintahan berlandaskan kapitalisma.Kapitalisma percaya kepada pengumpulan keuntungan yang tidak terhad, pasaran bebas dan bukannya suatu ekonomi yang terancang. Akibatnya ekonomi terumbang ambing diantara ekonomi berkembangan dan krisis eknomi.
Sebagai contohnya semasa ekonomi baik, pemaju membina banyak rumah dan mengeluarkan pelbagai produk. Produk dikeluarkan bukan mengikut keperluan rakyat tetapi mengikut tahap keuntungan yang akan diperolehi. Inilah yang dimaksudkan dengan ekonomi yang tidak terancang. Kentungan akan dikutip oleh para pemodal ini dengan mengerjakan para pekerjanya sekuat mungkin dengan membayar gaji yang serendah mungkin . Oleh kerana tuanpunya kilang takut dengan persaingan, maka dia akan cuba mengeluarkan produknya dengan kos yang serendah dengan tenaga pekerja yang sama. Disinilah timbulnya penindasan pekerja. Disitu juga lah timbulnya punca asas krisis ekonomi ini.
Jika kita fikirkan siapa kah yang menjadi pembeli atau konsumer terbesar dalam mana-mana masyarakat ? Sudah tentunya warga pekerja. Jadi bila wujudnya penindasan maka taraf gaji akan ditekan oleh majikan. Jadi jumlah wang yang dibawa balik oleh pekerja bertambah kurang. Maka sudah tentu dia tidak dapat membeli barang keluaran pemodal dan tuanpunya kilang. Jadi bilangan orang yang mampu membeli produk dalam pasaran akan berkurang. Pada masa yang sama tuanpunya kilang juga tidak sanggup menaikkan gaji pekerja kerana ianya akan menambahkan kos keluaran barangannya. Jadi permintaan produk berkurang. Kilang terpaksa tutup dan pekerjanya terpaksa diberhentikan. Bila ramai menganggur , tahap gaji akan turun lagi. Pekerja akan sanggup kerja untuk upah yang lebih rendah demi menampung keluarga masing-masing. Inilah yang dikenali dengan krisis pengeluaran berlebihan tanpa perancangan.Inilah dia sistem kapitalisma.
Kerajaan yang mempratikkan model kapitalisma tidak dapat menyelesaikan masalah ini.Kerajaan yang percaya kepada pasaran bebas akan bertungkus lumus menyelamatkan pihak pekilang dan bukannya kaum pekerja .
Sebab itulah ,Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa RM 5 billion dikeluarkan dari KWSP(wang simpanan pekerja) ke suatu syarikat Valuecap. Valuecap ini akan mengunakan RM 5 billion wang pekerja ini untuk membeli saham (atau menyelamatkan) syarikat-syarikat atau kilang-kilang yang mengalami kerugian. Sudah tentu semua syarikat kroni Kerajaan akan diselamatkan .
Justeru itulah Sosialis menentang kapitalisma. Kapitalisma tidak boleh diubahsuai atau dibaikpulih.Sebab itulah sosialis memperjuangkan agar kuasa pemerintahan diletakkan ditangan majoriti rakyat dan bukannya segelintir elit politik yang menjadi budak suruhan pihak korporat,syarikat swasta dan pengilang besar. Alternatif kepada kapitalisma ialah sosialisma .Walaupun sistem kapitalisma ini perlu dihancurkan tetapi krisis sekarang memerlukan langkah segera memandangkan kegagalan kapitalisma menyelesaikannya .Sebagai langkah segera menangani krisis ekonomi ini,Sosialis mencadangkan berikut ;
# Bentuk tabung Pemberhentian Kerja.Sebanyak ½ billion harus diperuntukkan dalam tabung ini untuk membayar gaji bulanan kepada pekerja yang kehilangan kerja sehingga pekerja itu mendapat kerja.
# Kerajaan ada mencadangkan 7 billion untuk pelbagai projek infrastruktur.Kontrak kerja tidak harus sampai kepada kontraktor kroni yang mengunakan pekerja asing yang murah.Projek infrastuktur harus dibayar terus kepada JKR ,Lembaga Perumahan,Majlis Tempatan dengan syarat dana digunakan untuk memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang kehilangan kerja.
# Akta Gaji Minima dan Pekerja Asing.Kerajaan harus implementasi Akta Gaji Minima dengan segera,hentikan polisi gaji murah.Pada masa yang sama semua kuota untuk pengambilan pekerja asing yang dipegang oleh syarikat besar dibekukan dengan serta –merta.Pekerja asing yang hilang kerja dihantar pulang ke negara asal mereka dengan bayaran pampasan yang munasabah.
# Tanah untuk pertanian.Tanah terbiar disewa atau dipajak ,2-3 ekar untuk aktiviti pertanian kepada mereka yang hilang kerja.Tanah kerajaan atau tanah swasta yang terbiar digunakan untuk usaha ini.Aktiviti akan menambahkan hasil tanaman makanan yang dapat menjamin bekalan barangan makanan untuk rakyat Malaysia dengan harga yang patut. Harga tinggi barangan makanan disebabkan kepada ke bergantungan kepada makanan yang diimpot.
# Keadaan krisis ekonomi yang bertambah teruk mungkin akan menyebabkan segolongan yang susah tidak dapat menampung kos makanan asas yang melambung. Maka skim program catuan makanan iaitu membekal bakul makanan harus dimulakan.
# Skim pinjaman bank kepada rakyat pekerja harus dirombak semula.Apabila ramai kehilangan kerja ,mereka akan menghadapi masalah membayar ansuran kepada bank untuk rumah mereka.Akibatnya rumah mereka akan ditarik oleh bank untuk dilelong.Demi menjamin setiap rakyat mempunyai rumah,maka syarat dan terma bayaran balik ke bank harus dirombak semula dengan menangguhkan bayaran atau menambahkan tempoh bayaran balik. Kerajaan harus mengadakan perbincangan dengan bank untuk tujuan ini.
# Cukai korporat jangan dikurangkan. Cukai korporat yang berada pada tahap 27% harus dikekalkan.Ini akan menjamin sumber kepada Kerajaan.Jika dikurangkan,Kerajaan terpaksa cari sumber lain seperti mengenakan cukai lain kepada rakyat biasa.