Perayaan Ponggal diraikan oleh masyarakat India untuk mengenang jasa sumber alam seperti matahari,tanah ,sungai yang membolehkan rakyat bertani untuk keperluan makanan. Perayaan yang disambut secara besar-besaran dahulu semasa ekonomi diterajui oleh kegiatan pertanian,masih relevan hingga ke hari ini . Ianya relevan kerana ianya mengingatkan kita mengenai hak setiap insan keatas sumber alam. Sumber alam adalah untuk manusia sejagat untuk kegiatan ekonominya .
Tetapi kini dalam era kapitalisma semuanya telah berubah. Sumber alam bukan lagi milik rakyat jelata tetapi hak persendirian segolongan elit korporat yang memerintah ekonomi Negara. Air bukan lagi hak asasi kehidupan manusia tetapi kini merupakan suatu komoditi yang perlu dibeli.
Jika tiada wang ,maka sumber asas kehidupan ini akan dirampas. Begitulah nasib 75 keluarga Kg.Bungaraya apabila bekalan air ke rumah mereka dipotong oleh SYABAS .Sejak bekalan air Selangor diswastakan pada 1hb.Januari,2005, air, menjadi suatu bahan niaga.
Penduduk Kg.Bungaraya amat malang kerana menjadi mangsa penganiyayaan yang berterusan. Kampung mereka dirobohkan dan mereka dipindahkan ke rumah panjang. Bekalan air disambung secara meter pukal. Tiada meter individu.Wang terpaksa dikutip dari setiap rumah untuk membayar bil SYABAS.
Mereka dijanjikan rumah apabila dipindahkan ke rumah transit rumah panjang pada tahun 1994. Tetapi sehingga kini, rumah mereka tidak muncul, kerana projek perumahan mereka terbengkalai dan pemaju rumah itu muflis. Oleh itu rumah transit menjadi rumah tetap !
Tambahannya pula ,jawatankuasa kampung yang lama (orang pro Barisan Nasional) tidak menyelesaikan bayaran bil air yang dikutip. Apabila jawatankuasa baru mengambil alih pada pertengahan tahun lepas, mereka menanggung beban tunggakkan bil air ini. Kini bil air adalah lebih kurang RM 30,000 yang perlu dibayar.
SYABAS sebagai suatu entity korporat telah memotong bekalan air ke Kg.Bungaraya pada 13hb.Januari,2008 iaitu sehari sebelum perayaan Ponggal. Apa perayaan yang boleh disambut tanpa bekalan air ? Semua kerja persiapan tergendala ! Sungguh kejam pihak korporat memotong air pada masa perayaan.
Setelah mendapat aduan penduduk, Sivarajan Ahli Majlis MBSA telah menghubungi MBSA meminta agar bekalan tangki air kecemasan dihantar ke kampung.Dengan kerjasama pihak Jabatan Taman, bekalan air dapat dihantar pada lewat malam 13hb .Januari.2008 untuk kegunaan penduduk.
Pada 14hb.Januari, ADUN Kota Damansara telah menghubungi pihak SYABAS meminta agar bekalan air disambungkan .Pihak SYABAS meminta agar bayaran sekurang-kurangnya RM 15,000 dibuat dahulu sebelum bekalan air disambung. Selepas berbincang dengan pegawai atasan SYABAS, DR.Nasir memberi kepastian untuk mengadakan suatu mesyuarat khas bersama SYABAS untuk membincangkan bagaimana bayaran ansuran boleh dibuat untuk menyelesaikan tunggakan itu. Dr.Nasir juga akan cuba mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri untuk memberi sumbangan untuk menyelesaikan bil air penduduk.
Pada petang 14hb.Januari,2008 air disambung semula ke Kg.Bungaraya. Kenapa yang miskin kerap kali ditindas oleh pelbagai pihak ? Hak mereka sebagai peneroka Bandar dihancurkan, hak mereka sebagai pembeli rumah dirampas dan kini hak mereka untuk memperolehi kemudahan asas,air diperniagakan.
Perjuangan rakyat sahaja yang akan membebaskan rakyat dari belengu penindasan ini. Pejabat ADUN kini telah mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk untuk mengatur langkah perjuangan bersama penduduk Kg.Bungaraya.