Pada suatu sesi taklimat yang telah diadakan oleh MBPJ untuk para penduduk yang terlibat dengan isu pembinaan Carrefour in Seksyen 11 Kota Damansara, penduduk menolak kajian yang ingin dijalankan oleh MBPJ.
Kajian ini diarahkan oleh Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila beberapa perbincangan diantara penduduk, pihak pemaju dan Carrefour gagal mencapai persetujuan . Kajian ini bertujuan untuk mengetahui peratusan penduduk yang setuju atau menolak pembinaan Carrefour ini. Penduduk menyuarakan rasa tidak puashati atas sikap Kerajaan Pakatan Rakyat yang masih berdolak dalih dengan keputusan samaada menghentikan atau membenarkan pembinaan Carrefour di Kota Damansara .
“Kami telah mengumpulkan sebanyak 1700 lebih tandatangan penduduk yang membantah pembinaan Carrefour. Selain daripada itu seramai 12 Persatuan Penduduk sekitar tapak pembinaan ini telah memberikan surat membantah pembinaannya kepada Menteri Besar semasa mesyuarat MTES yang lalu. Kenapa perlu satu lagi kajian ?, Adakah Menteri Besar tidak percaya ke atas semua tandatangan dan surat persatuan penduduk yang telah dikumpulkan itu ? “ tanya En.Vincent ,penduduk D’Villa .
Sejak bulan Mac,2008, penduduk telah mengutarakan bantahan mereka terhadap pembinaan pasaraya besar Carrefour berhampiran dengan rumah mereka .Tapak pembinaan itu amatlah hampir ,dimana ianya hanya 20meter dari pagar rumah penduduk. Penduduk juga membantah pembinaan pasaraya tersebut kerana ianya berhampiran dengan sekolah. Oleh kerana tapak pembinaan ini pada awalnya diperuntukkan untuk pembinaan kedai dua tingkat, maka semua jalan masuk kekawasan perumahan ini tidak akan dapat menampung penambahan trafik apabila Carrefour dibina .
Jalanraya-jalanraya sudah tentu tidak dapat menampung treler-treler besar yang membawa barangan ke Carrefour. Tetapi selain daripada isu –isu ketidaksesuaian logistic yang timbul, kelulusan pembinaan pasaraya ini menonjolkan beberapa penyelewengan pemerintahan Barisan Nasional sebelum 8hb.Mac,2008 di Selangor.
Diantara persoalan yang timbulkan ialah ;
- Kenapa tapak yang diluluskan untuk pembinaan kedai dua tingkat ,tiba-tiba ditukar kelulusannya kepada Pasaraya ?
- Kenapakah kelulusan pembangunan diberikan kepada PKNS apabila tapak tersebut dalam proses penjualan ke pihak pemaju iaitu Melati Ehsan . Adakah nama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS disalah gunakan oleh pemaju swasta untuk memperolehi kelulusan daripada MBPJ ?
- MBPJ jelas telah melakukan kesilapan apabila mereka gagal menghantar notis bantahan kepada semua rumah sekitar tapak pembinaan Carrefour untuk mendapatkan pandangan penduduk setempat selaras dengan LA21 (Local Agenda 21). Maka kenapa pembinaan diteruskan ??
Dr.Nasir ADUN Kota Damansara bersama ahli –ahli PSM telah menyokong tuntutan penduduk menolak pembinaan Carrefour. Sejak April 2008, suatu arahan berhenti kerja berjaya diperolehi daripada MBPJ kerana para kontraktor telah bekerja melebihi tempoh yang dibenarkan .Desakan lanjutan telah membawa kepada mesyuarat bersama Exco Kerajaan Tempatan ,Ronnie Liu,pihak pemaju,consultant,PKNS,penduduk dan MBPJ.
Beberapa mesyuarat susulan telah diadakan bersama Ronnie Liu dan pemaju . Mesyuarat tersebut berjaya mendesak Carrefour untuk berpindah kekawasan lain . Carrefour juga telah bersedia berpindah jika ditawarkan suatu tapak alternative oleh Kerajaan Negeri .
Tetapi perkara yang amat mendukacitakan ialah apabila Exco Ronnie Liu gagal membuat keputusan tegas mengarahkan pemindahan tapak, malah beliau membenarkan pihak pemaju mengemukakan cadangan pengubahsuaian terhadap bangunan Carrefour ditapak yang sama . “Apabila Carrefour sendiri telah bersedia untuk berpindah, kenapa pula Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak membuat keputusan muktamad , kenapa Ronnie Liu berdolak dalih “ tegur Dr.Nasir Hashim ,pengerusi PSM ,ADUN Kota Damansara.
Dr.Nasir menerangkan bahawa isu ini jelas menunjukkan sikap syarikat multinational seperti Carrefour yang hanya mementingkan bisnes . Carrefour sedar bahawa Kota Damansara mempunyai potensi yang luas dan sedang membangun kepadatan penduduknya . Oleh kerana saingan mereka iaitu Giant dan Tesco sudahpun bertapak di Kota Damansara ,maka Carrefour terpaksa mencari tapak untuk membina pasaraya nya . Walaupun lokasi tapak itu tidak sesuai ,mereka berdegil untuk menetap disitu juga. Walaupun bangunan dibina ,amat hampir dengan rumah ,iaitu hanya 20 meter daripada rumah , Carrefour tidak peduli .
“Kami sebagai Sosialis tidak menentang perniagaan ,tetapi menentang korporat besar yang menghancurkan persekitaran dan kesejahteraan rakyat “ tambah Dr.Nasir ,Pengerusi Parti Sosialis Malaysia .
PSM berpendapat Kerajaan Pakatan rakyat harus bertegas dalam isu ini . Seluruh scenario kelulusan dan pembinaan pasaraya ini diselubungi oleh pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintahan Barisan Nasional .Kenapa pula Kerajaan Pakatan Rakyat ingin meneruskan projek kontroversi ini ?
PSM amat mengharapkan kerajaan Pakatan Rakyat membuat perubahan yang nyata sepertimana yang diharapkan oleh rakyat .Ketegasan politik amat perlu. PR tidak boleh bertindak menjaga hati semua pihak termasuk pihak korporat besar yang tidak bertanggungjawab.
Oleh ,
Sivarajan,Pejabat ADUN
Kota Damansara.