Isu Zakat

Pada 22hb .Oktober yang lalu seramai lebih kurang 70 orang daripada Pemuda UMNO Subang dan Persatuan Pekida telah mengadakan demonstrasi membantah kononnya cadangan Dr.Nasir, ADUN Kota Damansara untuk menyalurkan wang Zakat kepada orang bukan Islam .

Sebagai suatu pertubuhan yang berketandusan isu , dan terburu-buru untuk membina semula sokongan rakyat , UMNO sekali lagi bermain isu perkauman .

Berikut adalah kenyataan rasmi Dr.Nasir menerangkan isu sebenar yang telah diputarbelitkan itu mengenai isu zakat .

Kepada
Editor Bahagian Berita
Akhbar dan Media Tempatan

KENYATAAN AKHBAR – ISU ZAKAT

Saya ingin menerangkan keadaan sebenar mengenai isu zakat yang telah dibangkitkan oleh media massa sejak semalam. Soalan saya semasa Dewan Undangan Negeri Selangor berlangsung telah diputarbelitkan untuk memberi gambaran seolah–olah saya mencadangkan Majlis Zakat mengadakan peruntukkan kepada masyarakat bukan Islam. Ini adalah tidak benar .

Pada 21hb.Oktober, 2008, semasa Dewan bersidang ,saya telah membawa soalan tambahan pada soalan No.13 mengenai Kutipan Zakat yang dibentang oleh ADUN Lembah Jaya . Soalan tambahan saya adalah samaada wujud atau tidak peruntukkan Zakat untuk rakyat bukan Islam yang miskin .Itu sahaja soalan saya .

Saya tidak pernah mencadangkan sesuatu dan hanya sekadar memohon penjelasan sahaja . Saya menimbulkan soalan ini kerana berikut ;

a) Selepas Pilihanraya Umum Mac lalu, kami, para ADUN dan Ahli Parlimen telah diberi taklimat oleh pegawai Zakat dan diberitahu bahawa rakyat bukan Islam yang miskin layak menerima zakat.
b) Tidak berapa lama selepas itu, kami pula telah difahamkan bahawa zakat adalah untuk orang Islam sahaja.
c) Oleh kerana wujudnya percanggahan fakta ini, maka itu, semasa Dewan bersidang saya telah menimbulkan soalan ini untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara ini .

Saya tidak memberi cadangan ataupun memaksa Majlis Zakat mengadakan peruntukkan untuk rakyat bukan Islam . Persoalan saya juga adalah berdasarkan Al Quran surah 9, Al- Taubah ayat 60 dan beberapa maklumat dari internet mengenai zakat ini .

Justeru itu saya berpendirian bahawa bertanya tentang zakat bukanlah suatu kesalahan . Saya amat kecewa terhadap media dan akhbar tempatan yang sanggup memutarbelitkan keadaan dan langsung tidak meminta penjelasan daripada saya .

Saya membantah bahawa isu ini diputarbelitkan demi kepentingan politik sesetengah pihak tertentu .

Sekian , terima kasih

DR.MOHD.NASIR BIN HASHIM .