Adun Soal Tindakan Hospital Sg. Buloh Yang Gagal Merawat Pesakit Kg. Bungaraya

SHAH ALAM - Keengganan Hospital Sg.Buloh, menerima penduduk Rumah Panjang Bunga Raya yang disyaki menghidapi Chikungunya sejak tiga hari lalu menimbulkan persoalan. Difahamkan, Sabtu lalu dua lelaki warga emas berusia 60 tahun dan wanita berumur 50 dan 40 tahun mengalami bengkak-bengkak di badan serta lemah sendi. Malah hari berikutnya, wanita 34 tahun, seorang warga emas berusia 60 dan remaja berusia 13 dan 23 tahun di kesan menghidapi masalah kesihatan sama.

Pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Shah Alam dan Daerah Petaling mengesahkan beberapa penduduk positif menghidapi penyakit Chikungunya dan perlu dirujuk ke hospital berkenaan, namun pihak hospital didakwa hanya memberi ubat pil dan ubat sapu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim menyifatkan tindakan hospital berkenaan tidak menerima pesakit yang disyaki menghidapi Chikungunya adalah tidak wajar memandangkan wabak itu merbahaya dan boleh membunuh jika tiada rawatan lanjut.

"Penyakit seperti itu kita ketahui boleh merebak dan memerlukan rawatan dan pihak hospital tidak sewajarnya mengabaikan mereka. Sebaliknya mereka perlu ditempatkan di wad untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika ditemui Sinar Harian sewaktu melawat penduduk rumah panjang itu semalam. Menurut beliau, perkara ini perlu disiasat kerana penduduk yang disyaki menghidapi penyakit tersebut kelihatan serius setelah pulang ke rumah, malahan bilangan mereka yang menghidapi masalah sama bertambah dari masa ke semasa.

"Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan hospital itu untuk mendapatkan penjelasan tentang dakwaan ini dan apakah sebab pesakit tidak dirawat dengan keadaan sepatutnya," jelasnya.

MASALAH POKOK.... PERUMAHAN

Ketika mengulas mengenai isu perpindahan penduduk rumah panjang itu ke tempat yang lebih baik dan selesa beliau berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan bersama Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor , En. Iskandar , Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pemaju perumahan terbengkalai beberapa bulan lalu, namun sehingga kini tiada tanda-tanda masalah itu akan selesai. "Penduduk sekarang sudah tersepit kerana hampir separuh daripada 120 keluarga di sini disenaraihitamkan berikutan tidak membayar ansuran rumah yang kini projeknya sudah terbengkalai," katanya.

Penduduk sudah tinggal dan menetap di kawasan itu sejak 15 tahun lalu apabila mereka dipindahkan daripada kampung mereka.

“Rumah panjang adalah rumah transit dan sepatutnya hanya setahun dua sahaja . Tetapi kini sudah 15 tahun mereka duduk disini dalam persekitaraan yang sungguh teruk . Adakah oleh kerana mereka ini miskin,nasib mereka tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa ?” tambah Dr.Nasir

Penduduk juga turut menghadapi tunggakan bil air sehingga RM28,000 berikutan dakwaan berlakunya pecah amanah melibatkan kepimpinan tertinggi kampung itu dahulu.

Di edit daripada berita Sinar Harian ,
Sivarajan.