Sejak bulan Julai, 2008 yang lalu keadaan di Kampung Baru Sg.Buloh amatlah tegang. Ini terjadi kerana para penduduk Kg.Baru ini tidak puashati individu yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengetuai JKKK kampong ini. Orang yang dilantik ini dipercayai bekas orang MCA, Barisan Nasional yang telah bertukar ke kem PKR selepas PRU12,bulan Mac lalu.
"Bagaimana kita boleh menerimanya,apabila kita tahu semua penyelewengan yang dibuat oleh mereka semasa pemerintahan Barisan Nasional selama 50 tahun yang lalu !”kata seorang penduduk yang telah datang berjumpa dengan Dr.Nasir Hashim dipejabatnya.
Dr.Nasir juga terkejut dengan perlantikan itu. "Sepertimana yang diarahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, kami telahpun menghantar senarai nama wakil-wakil yang telah dicadangkan oleh penduduk sendiri ke Menteri Besar dan Exco. Tetapi nama yang dipilih oleh Kerajaan Negeri lain pula! Kenapakah ini berlaku ? Saya sebagai ADUN juga tidak dipanggil oleh pihak Kerajaan Negeri untuk memberikan pendapat dalam hal ini ",kata Dr.Nasir yang kurang puas hati dengan cara bagaimana pemilihan Ketua Kampung dibuat oleh Kerajaan Negeri.
bq. "Kini, saya sebagai ADUN kawasan Kg.Baru Sg.Buloh terpaksa buat 'damage control', kerana rakyat sungguh marah dengan perlantikan tersebut". Dr.Nasir juga telah menulis kepada YB Ean Yong Hian Wah, Exco Pembangunan Kampung Baru menekankan bahawa beliau membantah perlantikan secara begini.
Sebagai sebuah Kerajaan Baru yang ingin membuat perubahan,dan mengatasi kegagalan pemerintahan Barisan Nasional selama 50 tahun ini, ketua-ketua diperingkat akar umbi adalah amat penting. Jika orang-orang bekas MCA dan Barisan Nasional ini dibenarkan 'tukar baju ' kepada PKR dengan sewenag-wenangnya, maka proses perubahan tidak akan berjaya. Mereka ini yang telah membuat begitu banyak penyelewengan selama 50 tahun ini, akan bermati-matian untuk menjaga kepentingan mereka di Kg.Baru Sg.Buloh. Justeru itu mereka sanggup melompat ke parti mana pun asalkan kepentingan mereka terjaga.
Para kepimpinan PKR harus peka terhadap golongan oportunis ini. Oleh yang demikian,cara yang paling baik untuk memilih ketua kampong ialah secara pilihanraya peringkat kampong. Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak boleh mengadakan pilihanraya boleh kenapa Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh ?
Dr.Nasir dan kepimpinan Parti Sosialis Malaysia amat berharap Kerajaan Negeri Selangor berusaha mengadakan pilihanraya untuk memilih ketua kampong dan juga seterusnya ke peringkat Ahli Majlis dan PBT.