Dr.Nasir telah mengemukakan 20 soalan untuk Sidang DUN Sesi 3 yang akan berlangsung dari 9 - 17 November 2009. Secara umumnya soalan-soalan yang dikemukakan meliputi isu-isu seperti krisis ekonomi, gaji minima, zakat, perumahan, penyelenggaraan sampah, Isu pembangunan Tanah dan projek PKNS, Lesen TOL, SELCAT, belia dan sukan, kesihatan, pendidikan, Judi haram serta kilang haram .
Berikut adalah soalan-soalan yang telah dikemukakan untuk Sidang DUN:
1) METER AIR INDIVIDU
Pada pertengahan tahun ini, kerajaan negeri telah mengubal polisi yang mewajibkan meter air pukal di semua pembangunan perumahan bertingkat ditukarkan ke meter air individu.
a) Berapakah projek perumahan bertingkat yang sudahpun bertukar pada meter individu?
b) Apakah tindakan seterusnya jika arahan ini tidak diikuti?
c) Siapa yang harus membiayai pertukaran ini?
2) PEMBANGUNAN TANAH
Hampir kebanyakkan projek pembangunan tanah di Kota Damansara terletak di bawah PKNS.
a) Berapakah jumlah tanah yang ada di Kota Damansara di bawah milikan PKNS?
b) Berapakah peratusan tanah yang sudah diperuntukkan untuk pembangunan di Kota Damansara?
c) Adakah kesemuanya ini dibangunkan mengikut syarat-syarat usaha sama (joint venture)?
3) GAJI MINIMA
Kerajaan negeri telah memutuskan bahawa garis kemiskinan dan gaji minima adalah pada paras RM 1500.00
a) Sejauh manakah kerajaan negeri dapat melaksanakan gaji minima ini dan apa masalahnya?
b) Adakah kerajaan negeri bertujuaan untuk memulakan gaji minima ini pada anak-anak syarikat kerajaan negeri?
c) Bagaimana kerajaan negeri melaksanakan gaji minima ini pada syarikat-syarikat swasta?
4) STRATA TITLE
PKNS tidak mengeluarkan strata title walaupun projek rumah pangsa kos rendah sudah siap untuk diduduki dan sudahpun melebihi 10 tahun.
a) Berapakah projek pembangunan yang disiapkan untuk diduduki tetapi belum diberikan strata title?
b) Mengapa proses ini sangat lambat?
5) LESEN TOL
Kerajaan Negeri telah menawarkan lesen Tanah Sementara (TOL) pada mereka yang ingin mengusahakan tanah kerajaan yang terbiar.
a) Berapakah peratus lesen TOL yang telah diberikan kepada individu mengikut DUN?
b) Berapakah peratus penerima lesen TOL ini yang telah menyewakan semula tanah tersebut kepada pihak ketiga?
c) apakah tindakan yang telah diambil oleh Pejabat Daerah terhadap mereka ini?
6) JUDI HARAM
Kota Damansara makin menjadi lobok judi haram.
a) Berapakah pusat judi haram yang sedia ada di Kota Damansara?
b) Apakah syarat-syarat yang dikenakan untuk mendapat kelulusan?
c) Senaraikan jenis judi haram dan denda yang telah dikenakan mengikut tahun 2008 dan 2009?
7) PEGAWAI KONTRAK
Kami difahamkan bahawa ramai yang berkhidmat lebih lima tahun dalam agensi-agensi kerajaan masih memegang jawatan sebagai pegawai(staff) kontrak.
a) Apakah syarat-syarat bagi memastikan seorang pekerja itu diterima dalam jawatan tetap(permanent)?
b) Apakah alasan-alasan untuk tidak menawarkan jawatan kekal pada mereka yang berkhidmat lama dengan agensi-agensi ini.
8) ZAKAT
Zakat telah dikutip dan diagihkan kepada mereka yang miskin. Kami mendapat beberapa aduan bahawa ada yang layak tidak dapat bantuan dan ada yang masih memerlukannya tidak disambungkan bantuan tersebut.
a) Senaraikan jumlah dan jenis bantuan zakat yang diagihkan kepada mereka yang memerlukannya.
b) Apakah kelulusan pegawai-pegawai zakat yang dihantar untuk menyiasat dan memastikan kelayakan seseorang itu?
c) Apakah tindakan pegawai-pegawai zakat apabila menerima rayuan untuk mengkaji semula keputusan pemberhentian bantuan?
9) KRISIS EKONOMI
Rakyat miskin masih ditekan oleh masalah Krisis Ekonomi dan kenaikan harga barangan dan makanan. Kerajaan negeri telah pun menghulurkan bantuan terhadap mereka yang malang.
a) Bagaimanakah program-program ini disalurkan dan apakah garis pengukur terhadap keberkesanannya?
b) Adakah Kerajaan berusaha untuk menawarkan kerja baru bagi mereka yang berjaya mengikuti kursus dan latihan?
10) KRISIS EKONOMI
Krisis Ekonomi sentiasa berulang-ulang mengakibatkan pekerja-pekerja kehilangan pekerjaan.
a) Apakah persediaan kerajaan negeri untuk mengurangkan bebanan ini sebelum berlakunya lagi krisis ekonomi?
b) Bagaimana dengan cadangan untuk menyediakan tabung kecemasan, sebagai bantuan awalan disamping mereka mencari pekerjaan baru?
11) PENYELENGARAAN SAMPAH
Alam Flora ditugaskan untuk menyelenggarakan sampah pada kebanyakkan projek pembangunan PKNS. Apakah prestasi dan aduan terhadap;
a) kutipan sampah?
b) pemotongan rumput?
c) pembersihan parit?
12) GERAI MAKANAN
PBT masih merobohkan gerai-gerai makanan di kawasan masing-masing. Tindakkan ini telah menjejaskan mata pencarian mereka sekeluarga.
a) Apakah syarat-syarat yang ditetapkan sebelum merobohkan gerai-gerai?
b) Adakah perbincangan diusahakan untuk mendapat pandangan pegerai-pegerai tersebut?
c) Adakah pihak PBT menawarkan tempat alternatif untuk membantu mereka?
13) PENDIDIKAN
Pendidkan amatlah penting untuk masa depan anak-anak dan keluarga. Malangnya ada juga kanak-kanak yang tidak pernah memasuki sekolah rendah.
a)Berapa ramaikah kanak-kanak di negeri Selangor yang tidak pernah didaftarkan dalam sekolah rendah?
b) Apakah sebab-sebabnya?
c) Sekiranya mereka sudah melebihi umur apakah program yang boleh membantu mereka?
14) PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN
Dewan undangan negeri telahpun meluluskan usul mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan.
a) Apakah tindakan yang telah dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat ini?
b) Adakah kerajaan negeri melibatkan badan-badan bukan kerajaan tentang perkara ini?
c) Bagaimana kerajaan mengatasinya sekira mendapat tentangan dari kerajaan pusat?
15) KILANG HARAM
Kota Damansara mempunyai banyak kilang haram di Kampung Baru Sri Sungai Buloh dan Kampung Baru Sri Subang. Pemutihan kilang-kilang haram ini dapat menaikkan nilai tanah dan menambahkan pendapatan kerajaan negeri.
a) Setakat manakah proses pemutihan ini berlaku di Kota Damansara?
b) Apa yang harus dilakukan untuk melicinkan lagi proses ini?
c) Apakah peruntukan kerajaan negeri untuk kerja baikpulih jalanraya dan mengatasi banjir di kawasan kampung baru ini?
16) SELCAT
SELCAT berjaya mendedahkan penyelewengan yang berlaku pada masa-masa yang sudah.
a) Apakah tindakan kerajaan negeri apabila SPRM tidak siasat pihak-pihak yang bekenaan?
b) Apakah peranan SELCAT untuk mematangkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas Dewan
Undangan Negeri?
17) PADI
Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk mengutamakan penanaman padi yang berhasil tinggi.
a) Berapakah jenis baka padi yang ditanam?
b) Apakah masalah yang timbul apabila menanam jenis padi yang baru ini?
c) Adakah padi ini digunakan untuk kegunaan tempatan ataupun untuk dieksport?
18) KEBAJIKAN
Kerajaan negeri telah menumpukan perhatian terhadap kebajikan rakyat melalui program merakyatkan ekonomi selangor.
a) Apakah jenis penumpuan yang mirip kepada kebajikan rakyat?
b) Berapakah peruntukkan kerajaan negeri yang disalurkan terhadap kebajikan rakyat?
c) Bagaimanakah cara pengagihan kebajikan ini mengikut kaum dan kedudukan ekonomi?
19) BELIA DAN SUKAN
Sukan amatlah penting kepada golongan belia khususnya membentuk sikap, disiplin, organisasi dan kesabaran.
a) Apakah pendirian kerajaan negeri untuk membentuk golongan belia sebagai bakal pemimpin?
b) Berapa banyak peruntukkan yang disediakan untuk membantu persatuan-persatuan sukan di seluruh Selangor?
c) Apakah program sukan yang disediakan untuk golongan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun di seluruh Selangor?
20) KESIHATAN
Kebelakangan ini pejabat ADUN Kota Damansara telah menerima beberapa aduan tentang kebersihan, sampah berbau busuk dan dihurungi lalat serta tikus.
a)Senaraikan denda yang telah dikeluarkan oleh pihak PBT terhadap mereka yang bertanggungjawab tentang kebersihan kawasan dan bangunan.
b) Berapa pegawai kesihatan yang ditugaskan untuk memantau isu-isu kesihatan di kawasan ini?